Quincy yang dikenali Quincy

  • Ishida Uryū (石田 雨竜)
  • Ishida Ryūken (石田 竜弦) - Disuarakan oleh: Ken Narita (Bahasa Jepun), Michael McConnohie (Bahasa Inggeris)

Ryūken ialah anak lelaki kepada Ishida Sōken dan ayah kepada Ishida Uryū. Dia juga merupakan pengarah kepada Hospital Karakura dan dikenali sebagai Quincy Terakhir, satu status yang turut diakui oleh anaknya. Ryūken dipaparkan sebagai seorang yang dingin, mementingkan kerjaya dan renggang dengan ayah dan anaknya. Dia benci akan puak Quincy dengan justifikasi bahawa identiti itu tidak memberikan wang saraan dan dia lebih rela menyelamatkan orang hidup daripada yang telah mati. Dia juga menyatakan bahawa puak Quincy akan berakhir dengan kematian generasi Sōken. Oleh itu, dia mengarahkan Uryū agar tidak mengikut jejak langkah datuknya. Pegangan ini menyebabkan Ryūken berbeza daripada watak-watak Bleach yang lain; mereka yang sedar akan kewujudan dunia semangat biasanya mendahulukan kepentingan dunia semangat daripada dunia nyata.

Selain itu, Ryūken juga bersahabat dengan Kurosaki Isshin; hubungan persahabatan mereka agak seiras dengan pertalian antara anak lelaki mereka. Ryūken sedar akan kuasa shinigami Isshin yang terpulih apabila Isshin melawat Ryūken dan mereka berdua saling bertukar petua mendidik anak. Urahara Kisuke juga nampaknya mengenali Ryūken dan identitinya.

Walaupun Ryūken berasa tidak senang akan statusnya sebagai seorang Quincy, dia sering berpakaian putih dan tali lehernya mempunyai sulaman salib biru sebagai satu lambang kepada puak Quincy. Dalam babak Bount (anime), salib biru boleh didapati pada dinding dan lantai hospitalnya. Sōken memberitahu Uryū (dalam satu imbasan kembali) bahawa Ryūken mempunyai motif tersirat yang masih belum dapat diselami oleh si kecil Uryū. Ryūken juga membantu Uryū memulihkan kuasa Quincy-nya dengan syarat anaknya tidak boleh bergaul dengan shinigami lagi, walaupun mereka merupakan kawannya.

Uryū berasa terkejut kerana walaupun Ryūken benci akan puak Quincy, kemahiran ayahnya sebagai seorang kombatan adalah sangat tinggi. Malah, tahap kemahirannya melepasi Uryū yang dianggap sebagai genius oleh saintis shinigami, Kurotsuchi Mayuri yang suatu ketika dahulu gemar membuat kajian tentang puak Quincy. Ryūken juga menguasai semua skill dan teknik yang dicipta oleh puaknya memandangkan dialah yang mewarisi kuasa ayahnya dan Salib Quincy. Semasa dia diperkenalkan buat pertama kali dalam babak Arrancar, Ryūken menewaskan dua arrancar yang tidak lengkap dengan tiga panahan; satu untuk menyelamatkan Uryū dan dua lagi untuk menghapuskan arrancar tersebut. Dia juga telah membina satu bilik rahsia sebagai lokasi latihan di bawah Hospital Karakura yang mampu menyembunyikan kehadiran tenaga semangat.

Seperti Quincy lain, Ryūken menggunakan busur sebagai senjata utamanya. Dia juga mempunyai pengetahuan yang terperinci berkenaan dengan hollow dan keupayaan mereka, seperti penjanaan semula pada kadar yang tinggi. Tetapi, Ryūken berbeza daripada Quincy lain kerana dia boleh mengubah saiz busurnya dan memanah beberapa panah secara serentak. Dia juga boleh memanah dengan satu tangan sahaja pada kelajuan yang tinggi. Busurnya berwarna putih dan bukannya biru. Dalam anime, busurnya kelihatan lebih nyata dan metalik jika dibandingkan dengan busur Quincy lain. Ryūken menggunakan bintang berbucu lima untuk menyeru busurnya walaupun artifak ini masih dipanggil Salib Quincy (滅却十字, mekkyaku jūji).

  • Ishida Sōken (石田 宗弦)

Merupakan mentor kepada anaknya dan cucu, Uryū. Sōken (dilahirkan pada Mac 22) ialah seorang lelaki tua yang murah hati dan disanjung tinggi oleh Uryū. Dia berdakwah tentang pelbagai falsafah Quincy yang menegaskan kerjasama antara Quincy dengan shinigami supaya Quincy boleh bertindak sebagai "petindak pertama" untuk melindungi manusia sementara menunggu ketibaan shinigami. Dia dibunuh oleh hollow dan pasukan shinigami yang patut bertolak ke tempat kejadian telah ditahan oleh Kurotsuchi Mayuri supaya dia boleh membuat kajian terhadap semangat Sōken. Kematiannya menjadi punca utama Uryū membenci shinigami. Tetapi, selepas mengetahui hakikat di sebalik konspirasi ini, kebencian Uryū terhadap shinigami berkurangan.